بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Alhamdulillah, impian aku dari tahun 2019 telah dimakbulkan Allah. Impian yang aku maksudkan adalah Kelas Asas Blog dan Penulisan oleh Puan Masayu Ahmad. Kelas ini akan berlangsung dalam masa 10 hari sahaja dan aku dipantau 100% oleh Puan Masayu Ahmad.
Baiklah, tanpa melengahkan masa lagi, aku kongsi tugasan pertama di sini.
TUGASAN PERTAMA
Pengenalan Diri
1. Nama penuh ikut ic. Nyatakan email.
NURFARHANAH BINTI SUARDI / amyhanna8187@gmail.com
Nama penuh aku, NURFARHANAH BINTI SUARDI. Nama panggilan aku, Farah, Farhana, Hana, Fana, Nana, Adik, Uda, Mak Uda, Syurgaku, Sayang dan Isteriku. Aku lebih suka berbual "kau, aku" untuk lebih mesra. Paling tak suka orang sama baya (umur) panggil aku "kakak" sebab umur sama atau lebih kurang tua.
Maksud nama aku ialah Cahaya Kegembiraan, yang mana aku rasa hanya aku yang pandai menggembirakan orang, tetapi orang lain tidak. Disebabkan sekarang aku gemuk, nama yang selalu orang sebut adalah 'Si Montel, 'Si Debab' dan 'Si Gebu'. Mula-mula aku okay je. Tapi lama-lama aku rasa marah dan malu. Sebab aku tahu aku bukan gemuk dari kecil. Syurgaku pula, nama baru yang suami aku beri / gelar sejak awal 2022 ni. Entahlah, kadang-kadang aku kekok, kadang-kadang aku suka.
Emel tak prfesional?
Ya, betul. Emel ini atas rasa sayang aku pada suami waktu aku bercinta dengan suami aku dulu. Lama-lama guna (12 tahun) buat kau rasa sayang dan susah nak tukar. Padahal, aku ada banyak emel lain. Lebih 10 emel yang aku ada dan aktif tau. Tapi sebab aku dah emel ini sejak 2010, buatkan aku susah nak tukar yang lain. Selain itu, aku pernah digelar wanita yang beria-ia dan terhegeh-hegeh untuk cinta suami aku atas sebab aku guna emel ini. Sedih sangat, Allah je tahu.
2. Pendidikan.
STPM
STPM adalah kelulusan tertinggi aku. Aku tak nak ambil STPM. Aku nak masuk universiti. Aku nak pegang sekeping Ijazah. Tapi, Allah saja yang tahu. Aku tak nak luahkan, cukuplah aku pendam dan tanggung selama ini. Doa aku, aku dapat sambung pelajaran semula sebelum usia aku menginjak 40 tahun.
Kenapa nak sambung belajar lagi? Kenapa tak fokus pada kerja sahaja? Kenapa dan kenapa? Soalan yang sama bermain di fikiran aku seawal 18 tahun. Kenapa Allah tak izinkan aku lagi untuk pergi sambung pelajaranku? Adakah aku tidak layak? Adakah aku terlalu bodoh? Allahu. Sebak dada aku, setiap kali aku ingat tentang hal ini. Aku syukuri segalanya. Alhamdulillah, ilmu yang sedikit ini, mampu membantu aku di masa kini.
3. Pengalaman kerja.
PEMBANTU TADBIR 16TAHUN
16 tahun berkerja dengan Kerajaan bukanlah satu jangka masa yang pendek. Sangat panjang jalan ceritanya, sehinggakan ada yang telah aku lupuskan dalam ingatanku. 3 Kementerian telah aku bertugas dan sedang bertugas.
Pengalaman aku memang banyak. Tapi, aku tak bersedia lagi nak kongsi secara umum. Maafkan aku.
4. Pengalaman bisnes.
KOSMETIK 3 TAHUN
Sebenar-benarnya, aku bukan ada pengalaman bisnes dalam bidang Kosmetik sahaja, tapi dalam bidang pakaian dan makanan. Namun begitu, aku lebih suka orang tahu pengalaman aku dalam perniagaan Kosmetik ini, sebab dalam bidang ini lah aku mula di kenali di media sosial.
Aku bukanlah Pengusaha atau Leader bagi Produk Kosmetik, tetapi aku hanyalah seorang ejen yang berusaha mencari duit sampingan dengan penjualan barang kosmetik. Pada aku, bidang kosmetik ini sangat mudah menarik perhatian pembeli dan pengguna tetap. Namun begitu, panas bukanlah sampai ke petang, ada Covid di tengah jalan yang menjadikan jalan cerita aku semakin sedih. Bukan Covid yang salah, cuma aku yang tak cukup "menyerah". Fuh, baru intro je aku dah mula rasa sebak.
Semuanya bermula pada Tahun 2018, aku cuba menjual produk daripada Syarikat LA (bukan nama sebenar) dan terus mencari ketua ejen mereka yang berada di kawasan Johor. Ketika itu, hanya 1 orang sahaja Ketua di setiap kawasan. Alangkah gembira rasa hati, apabila beliau mengatakan bahawa aku mempunyai peluang untuk berjaya di dalam bidang ini kerana aku mempunyai perwatakan yang menarik.
Dari seorang sahabat aku bantu dan sehinggalah aku ada 5 orang anak buah yang sama-sama bangunkan aku punya team, aku memang seronok sangat. Ada yang boleh bayar duit sewa, kumpul duit nak kahwin dan macam-macam lagi. Walaupun ada yang datang dan pergi, namun aku dan Azlina terus semangat untuk teruskan misi kami iaitu bebas hutang.
Sehinggalah, Allah turunkan ujian buat aku. Bertubi-tubi ujian. Allahu. Satu-satu kesedihan itu aku cuba padam, kerana ianya sangat menyesakkan dan menyakitkan. Aku serah segalanya pada Allah. YA, AKU SERAH SEGALANYA PADA ALLAH! Setelah sekian lama aku merasakan semua ini adalah atas usaha aku, akhirnya aku sedar, Allah jua yang mengizinkan dan menggerakkan aku untuk melakukan semua ini.
Cukuplah puluhan ribu modal aku keluarkan dari gaji sendiri, pinjaman peribadai, pinjaman keluarga dan kawan semata-mata hanya mahu mengikut kehendak Syarikat dan mengambil hati Ketua Ejen. Hanya kerana mahu nama disebut, dijulang ke langit aku sanggup buat semuanya walaupun ada ketikanya aku rugi dan tak mampu nak teruskan. Memikirkan anak-anak team yang sanggup bersabar dengan aku untuk restock, maka aku bangun juga teruskan semua ini.
Tahun 2021 (aku tak ingat bulan berapa), aku secara rasminya menarik diri untuk berhenti menjadi ejen LA. Selepas itu, aku menjadi seorang yang pendiam, pendendam dan pemarah. Aku mula rasa tidak berpuashati dengan takdir aku. Lama aku ambil masa untuk bangkit.
Tahun 2022 ini, aku telah perlahan-lahan redha dan meneruskan kehidupan aku. In shaa Allah, aku akan bangkit berniaga semula satu hari nanti.
5. Minat, kemahiran, kepakaran.
MINAT MENONTON WAYANG, KEMAHIRAN MENULIS, KEPAKARAN KETUA SORAK
Menonton wayang pada aku adalah satu terapi. Aku pernah tengok wayang seorang diri. Pada aku, setiap orang HARUS mencuba untuk tengok wayang sendiri dan rasai perbezaannya. Pastikan kita belajar melihat orang lain dan keadaan sekeliling ketika kita menonton wayang.
Kemahiran menulis aku ni disedari apabila ada sahabat aku beritahu tulisan aku ditiru oleh sahabat yang lain. Tapi sejujurnya, aku hanya akan boleh menulis sekiranya aku sedang dalam keadaan yang betul-betul tenang. Setelah pelbagai kesedihan yang aku alami, aku agak sukar untuk melihat lama-lama pada skrin telefon atau laptop.
Ketua Sorak? Ya, aku yang gelar diri aku sebagai ketua sorak. Sebab, setiap kali aku tengok game Pejabat aku, aku dapati rakan-rakan aku agak malu untuk menyokong sahabat-sahabat mereka yang sedang bertanding. Maka, aku akan ketuai sorakan, selepas itu, barulah ramai yang tidak segan untuk memebri sokongan. Sebagai penonton, atau ahli pasukan, eloklah kita hadir untuk bagi sokongan pada pemain. In shaa Allah, mereka akan lebih bersemangat.
6. Buku, genre yang suka dibaca.
BUKU CINDERELLA 94, ROMANTIK, KELAKAR, MISTERI DAN FIKSYEN
Aku ni suka membaca, dulu waktu sekolah aku selalu dapat Anugerah Nilam. Mungkin sebab aku suka berangan. Tapi, angan-angan aku nak dapat buka ros merah ketika 21 tahun, menjadi kenyataan, apabila suami aku yang hadiahkan bunga ros itu. Hehehe. Itu semua akibat berangan ketika baca novel.
Bila kita baca buku genre fiksyen atau misteri pula, kita akan sentiasa berfikir. Biasanya aku akan baca buku genre sebegini, ketika aku mahu jalan jauh. Perasaan takut dan misteri itu akan mennjadikan aku sentiasa peka dan berhati-hati.
7. Nyatakan blog, web jika ada.
cikpuanfarhanah.blogspot.com
Blog ini aku cipta pada 02.11.2011 bersama dengan adik-adik praktikal di pejabat lama aku. Mereka yang minta aku buat blog memandangkan aku suka menulis di Facebook. Nama pertama blog aku ni adalah Corat-Coret Kehidupan. Aku dulu letak nama ni konon-konon nak menulis pasal kehidupan orang lain, tapi akhirnya aku insaf, tulis pasal kehidupan sendiri je, hahaha.
Dah lebih 3 kali aku tukar nama. Asal aku rasa nak tukar, aku tukar. Antara sebab juga aku tak beli domain macam orang lain. In shaa Allah, kalau aku betul- betul serius menulis, aku akan beli doman pula.
8. Nyatakan 3 tajuk blog yang mahu ditulis.
1. MISTERI GADIS BERKEBAYA KUNING
2. ROMANTIKA CINTA SI HITAM MANIS
3. TIPS UNTUK KEKAL RELEVAN DI DALAM MEDIA SOSIAL
Ini antara 3 Tajuk Cerpen / ebook yang aku nak buat. InshaaAllah, satu hari nanti aku akan dapat menulis semuanya. Doakan aku ya sahabat.